United Buddy Bears - Seni Dan Toleransi United_Buddy_Bears

United Buddy Bears merupakan pameran kesenian antarabangsa menampilkan lebih 140 patung beruang kaca gentian setinggi dua meter. Cogan katanya ialah: "Kita mesti cuba mengenali satu sama lain, ini membolehkan kita memahami perasaan orang lain dengan lebih baik, lebih mempercayai satu sama lain, dan hidup bersama dengan lebih aman". Ia mewakili lebih daripada 140 buah negara yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia menggalakkan toleransi, persefahaman antarabangsa dan mewujudkan konsep hidup aman damai di kalangan pelbagai bangsa dan budaya. Beruang-beruang tersebut berdiri berpegangan tangan di dalam sebuah bulatan yang harmoni.

Satu syarat penting projek kesatuan antarabangsa ini ialah memilih artis daripada setiap negara - ini untuk mencerminkan kepelbagaian budaya dalam dunia ini. Orang ramai akan belajar tentang budaya, sejarah, penduduk dan landskap negara-negara tersebut, tidak kira besar atau kecil. Oleh itu, bulatan United Buddy Bears telah menjadi platform pengenalan bagi negara-negara kecil dan miskin yang sebelumnya tidak diketahui umum. Secara tiba-tiba, mereka kini setaraf dengan negara-negara besar dan kaya.

Beruang-beruang tersebut dipamerkan dari bulan Jun hingga November 2002, dalam bulatan di sekeliling Brandenburg Gate. Lebih kurang 1.5 juta orang mengunjungi pameran pertama ini.

United Buddy Bears – Worldtour

Selepas bulatan pertama "United Buddy Bears" mencapai kejayaan luar biasa pada tahun 2002, sebuah bulatan baru dibentuk pada tahun 2003. Tujuannya ialah lawatan mengelilingi dunia.

Dalam lawatan ini, "United Buddy Bears" membawa mesej keamanan, kasih sayang, toleransi dan persefahaman antarabangsa. Bulatan akan ditukar setiap kali sampai ke bandar baru. Pertukaran ini mengikut keadaan setempat dan susunannya berubah-ubah, kerana kedudukan beruang mengikut urutan abjad berdasarkan bahasa tempatan negara tuan rumah. Ia sentiasa menyerlahkan kesamaan yang baru, dan kadang-kadang kesamaan politik yang sangat menarik.

Masuk ke pameran adalah percuma. Ini membolehkan pelajar-pelajar sekolah melawat di waktu pagi sebagai sebahagian daripada pelajaran mereka untuk meneroka dan mempelajari budaya, sejarah, landskap, ekonomi dan muzik kesemua lima buah benua dalam keadaan ceria. Lebih daripada 35 juta pelawat telah mengambil faedah daripada United Buddy Bears yang berwarna-warni sejak pertama kali pameran dibuat.

Di setiap bandar, pameran United Buddy Bears disokong oleh kerajaan, kementerian luar negara, datuk bandar dan organisasi-organisasi UNICEF. Ketua-ketua negara - contohnya Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi, Presiden Persekutuan Jerman, Horst Köhler dan Wanita Pertama Mesir, Suzanne Mubarak serta Duta Goodwill UNICEF seperti Sir Peter Ustinov, Jackie Chan, Christiane Hörbiger, Mia Farrow, Iris Berben dan Ken Done telah merasmikan pameran ini di seluruh dunia. Duta Khas United Buddy Bears ialah pelakon Dennenesch Zoudé.

Selepas negara Jerman, Malaysia merupakan negara kedua di mana Pameran United Buddy Bears diadakan di dua lokasi yang berbeza: 2011 di Kuala Lumpur (dibawah naungan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj) dan 2016 di Georgetown (Pulau Pinang) (di bawah naungan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng).[1]

Beruang-beruang telah dipamerkan di bandar-bandar berikut sejak permulaan lawatan:

Sorotan semasa dari segi politik

  • 2003 Berlin: Setelah melawat pameran di Berlin pada tahun 2002, Sir Peter Ustinov mendesak supaya Iraq diwakili dalam bulatan United Buddy Bears pada masa akan datang. Pada tahun 2003, Iraq mengambil bahagian dalam bulatan ini untuk kali pertama dan Ustinov memberikan ucapan pembukaan pameran ini di hadapan lebih daripada 70 orang duta.
  • 2004 Hong Kong: Jackie Chan melawat pameran ini di Berlin pada tahun 2003. Atas inisiatifnya, beruang antarabangsa melawat Hong Kong setahun kemudian. Beliau menjadi penaung acara ini. Lebih daripada 3,000 VIP dari bidang politik, perniagaan dan budaya mengambil bahagian dalam majlis perasmian ini.
  • 2005 Seoul: Sebelum pameran berlangsung di Korea Selatan, dua orang pelukis Korea Utara diberikan kebenaran pergi ke Jerman melalui Beijing untuk mereka bentuk United Buddy Bear di Berlin bagi pihak negara mereka. Ini membolehkan Korea Utara dan Selatan berdiri bersama-sama berpegangan tangan buat pertama kalinya dalam pameran seni.
  • 2007 Baitulmuqaddis: Semua negara Arab diwakili dalam bulatan 132 negara, dengan beruang Palestin setaraf dengan semua beruang lain buat kali pertama di Baitulmuqaddis, Israel.
  • 2008 Pyongyang: Ia merupakan pameran pertama di Korea Utara yang boleh dikunjungi dan dibuka kepada semua orang. Menurut maklumat rasmi, lebih kurang 150,000 pengunjung datang setiap minggu di Pyongyang.

Rujukan

WikiPedia: United_Buddy_Bears http://www.gabrielrobledo.com.ar/gallery/main.php/... http://www.buddy-bear.com/en.html http://www.cubaabsolutely.com/AboutCuba/article_cu... http://www.jackiechankids.com/files/Buddy_Bears.ht... http://publicmakesimage.com/new/lifestyle/united-b... http://www.ubb-cairo.com/ http://www.ubbpenang.com/world-tour.php http://advanture.wordpress.com/2012/02/16/united-b... http://www.worldisround.com/articles/48301/index.h... http://grotte47.blog.de/2011/08/03/united-buddy-ba...